“Misi tiga mata”. Setelah hajat untuk mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian, kali ini skuad Piala Presiden Kelantan turun dengan misi mencatatkan kemenangan apabila melayan kunjungan KL Sime Darby FC dalam aksi perlawanan pertama pusingan kedua Liga Piala Presiden di Stadium Mini Penjara, Pengkalan Chepa petang ini.
Dalam perlawanan pusingan pertama di Bangi pada Isnin lalu, impian Kelantan untuk membawa pulang tiga mata lebur setelah sekadar seri 1-1.
Jaringan pendahuluan pemain pertahanan Kelantan, Tuan Norhafizie Tuan Mahmood dipadamkan menerusi gol sendiri pemain pertahanan, Mohd Syafiq Haikal pada minit-minit akhir perlawanan itu.
Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, kelekaan pemainnya pada saat-saat akhir ketika pertemuan menentang KL Sime Darby FC pada perlawanan itu menyaksikan tiga mata yang hampir dibawa pulang ke Kota Bharu terlepas begitu sahaja.
“Kita berharap, episod kekecewaan yang sama tidak berulang lagi apabila kita menghadapi lawan yang sama petang esok (ini).
“Jurulatih, Zahasmi Ismail akan membuat sedikit perubahan taktikal untuk perlawanan petang esok (ini). Melihat formasi 4-5-1 pasukan lawan sebelum ini, memang kita menghadapi kesukaran menembusi jentera tengah mereka, namun saya percaya dia sudah melakukan ‘kerja rumah’ untuk mengatasi masalah tersebut,” katanya.
Menurutnya, sekalipun Kelantan bakal turun tanpa pemain sayap lincah, Mohd Izuan Salahuddin yang digantung satu perlawanan, namun itu tidak menggusarkan pihak pengurusan pasukan kerana ramai pemain simpanan yang lain bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan ini.
““Siapa yang menggantikan posisi Mohd Izuan masih belum difikirkan lagi. Kita mempunyai ramai pemain lain yang mempunyai keupayaan yang setaraf dengan pemain yang beraksi dalam kesebelasan utama.
“Malah pujian harus diberikan kepada dua pemain baru, Mohd Akid dan Mohd Norhamizi (Harun) yang mempamerkan persembahan yang baik dalam perlawanan menentang Sime Darby FC di Bangi tempoh hari,” katanya.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hasssan ketika dihubungi mengesahkan venue perlawanan membabitkan Kelantan menentang KL Sime Darby FC itu dipinda ke Stadium Mini Penjara, Pengkalan Chepa memandangkan Stadium Sultan Muhammad IV akan digunakan bagi perlawanan Liga Super, Kelantan menentang Harimau Muda ‘A’ pada malam keesokannya.
No comments:
Post a Comment